usah merinjis awan dalam renyai yang merintik ... usah menginai gelap malam dengan ungu warna pelangi
Nyanyian Tanjung Sepi




Catatkan di BUKU TAMU
hakcipta terpelihara®noorsuraya
E-Novel

Nyanyian Tanjung Sepi

ini sebenarnya, belum pernah diterbitkan di mana-mana.

Cerita ini, ditulis beberapa tahun dulu (sebelum saya menulis ketiga-tiga novel saya: Biru Ungu Cinta, Tanah Andriyana & Keranamu Ain...)

Manuskrip tulisan tangan yang sebelum ini saya malu-malu dan juga tak pernah pamer kepada sesiapa; lalu kini saya beri nafas baru untuk santapan tetamu-tetamu yang mengunjungi teratak kecil Nyanyian Tanjung Sepi ini

Saya menulis novel ini, ketika saya masih bertugas sebagai guru di Sibu. Cerita ini, seusia dengan novel keempat saya; Rindunya Kian Membara.

Sudah lama Nyanyian Tanjung Sepi ini (bukannya, manuskrip pertama saya) tinggal tersorok sunyi dan sepi dalam kotak kayu di rumah... lalu akhirnya beginilah jadinya....

Pandangan dan kritikan anda sangat saya hargai :)
Selamat membaca ya!

Salam manis daripada saya yang mereka panggil,
Kaksu

[NOOR SURAYA]

adnannsuraya@yahoo.com

TAUTAN BLOG

RUMAH KECIL TIANG SERIBU
AYERMATA
SERIBU SATU MALAM




Tetamu
ke

free hit counter
Nyanyian Tanjung Sepi
mulai dilancarkan secara rasmi pada 3 Ogos 2004

<< December 2018 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01
02 03 04 05 06 07 08
09 10 11 12 13 14 15
16 17 18 19 20 21 22
23 24 25 26 27 28 29
30 31

NYANYIAN TANJUNG SEPI (2006) diterbitkan oleh CESB



Dang Bersaudara
[Amai][Anis][Ayang][Inoi][Jijah][Kalas][Sari][Nila]

KERANAMU AIN... (2001) diterbitkan oleh CESB


"Jika mencintaimu membawa hukuman mati... aku sudah lama mati."
[Nik Ahmad Adam]




BIRU UNGU CINTA (2003) diterbitkan oleh CESB



"Seandainya terus mencintai Seera adalah suatu dosa... ampunilah keterlanjuranku itu, Tuhan."
[Abdul Fattah]


RINDUNYA KIAN MEMBARA (2004) diterbitkan oleh CESB



"Pabila berkata tentang cinta, kita... bagaikan tidak teringin jadi dewasa...."
[Dr Farhana Haji Abu Bakar]


TANAH ANDRIYANA (2002) diterbitkan oleh CESB



"Asap api embun berderai,
Patah sayap haluan perahu;
Niat di hati tak mau bercerai,
Kuasa Allah siapa yang tahu?"



GURINDAM JIWA: HATI ANDRIYANA (2007) diterbitkan oleh Jemari Seni Publishing








If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



rss feed



 
Friday, June 02, 2006
Nuur... Aqmar Aziz ~ Nyanyian Tanjung Sepi

Salam Sayang,

Menulis novel sebenarnya banyak bergantung kepada bagaimana kita mencanai dan menggarap pengalaman serta mengubahsuaikannya menjadi sebuah cerita baru. Anekdot-anekdot yang kita kumpul daripada sebuah perjalanan hidup sendiri atau orang lain, apatah lagi melalui pembacaan sangat penting untuk memantapkan sesebuah karya.

Benarkah begitu? Kaksu ingin berkongsi pengalaman buat mereka yang ingin menulis. Walaupun kaksu penulis kecil-kecilan dalam sastera popular saja, tetapi apa salahnya kalau kaksu sekadar hendak beri tips sikit.

Ikutilah sedutan petikan cerita Nyanyian Tanjung Sepi. Kaksu ingin memfokuskan tips ini kepada cerita: Nuur Hannah binti Aqmar Aziz.

-::-::-::-::-::-

Merpati kepak bersilang,
    Turun ke bendang makan padi;
Simpan di peti takutkan hilang,
   Baik kusimpan di dalam hati.

-::-::-::-::-::-

Akhirnya Nuur Hannah binti Aqmar Aziz lahir pada malam Jumaat, lapan Muharam. Berat juga puterinya itu, dua perpuluhan sembilan kilogram. Khalida bersyukur kepada Allah dengan nikmat-Nya. Selepas lima hari tidak sedar diri kerana tumpah darah; lalu sebaik sahaja matanya dibuka untuk pertama kali, bukannya Aqmar yang dicari... tetapi Khalida ingin melihat anaknya! Begitulah naluri seorang ibu agaknya... kerana selama dia terbuai-buai dalam alam sedar dan alam mimpi... wajah mulus itu seperti mengikutnya ke mana-mana.

Catatan kaksu:
Pengalaman ini kaksu kutip apabila adik ipar kaksu, Hafidzah lahirkan anaknya Deena Asyiqin. Fidzah dimasukkan ke ICU hampir 3 hari kerana tumpah darah dan 7 hari lagi untuk pengawasan. Ramai yang menderma darah untuk menggantikan 8 pain darah yang telah digunakan oleh emak Deena tu. Dan si Deena yang nakal tu menjadi 'penghulu' di wad kanak-kanak untuk tempoh 10 hari itu.

Kalau kita menjenguk Deena di bilik berlampu ungu itu, kita dapat dengar suara Deenalah yang kuat sekali. Al-maklumlah orang duduk di bilik bayi sehari dua sahaja... dia bermastautin sehingga 10 hari dan sehingga emaknya pulih... tentulah dia jadi 'penolong kanan @ penghulu' wad kanak-kanak berlampu ultraviolet tu.

Pertama kali memandang makhluk kecil yang tidak berdaya itu, hati Aqmar disedarkan dengan rasa takjub pada kekuasaan Pencipta. Kita yang dilahirkan serba kekurangan ini, tiba-tiba boleh menjadi sombong dan angkuh dalam meniti usia. Kita yang datang dengan tangan kosong dan tanpa pakaian juga, tiba-tiba boleh menjadi manusia yang lupa diri. Tuhan, jauhilah Nuur Hannah dari sifat-sifat takbur begitu. Tuhan, pinjamlah Nuur Hannah dengan sifat rendah hati dan tunduk kepada-Mu. Limpahlah kasih sayang-Mu untuk dia... jadilah dia anak yang solehah, yang taat kepada ibu ayah, doa Aqmar diam-diam di dalam hati.

Catatan kaksu:
Semasa menulis petikan ini kaksu teringat kepada sajak Saudara A. Samad Said, Tetamu Senja.


Aqmar memerhati kedua-dua mereka dengan penuh keasyikan. Isterinya, Khalida seperti juga Nuur Hannah, terbaring tidak berdaya di situ. Khalida belum sihat betul. Untuk beberapa hari ini Khalida seperti sedang belajar menjadi ibu, dia masih teragak-agak untuk berbicara dengan anaknya dan masih malu-malu untuk menyusukan anaknya kalau Aqmar ada di situ. Ada pelbagai rasa yang bergolak di hatinya. Keadaan ini berterusan sehingga beberapa hari kemudian.  Aqmar rasa lucu melihat sikap serba salah Lida.

"Abang keluar sekejap, Hannah nak menyusu."
"Apa salahnya abang di sini, abang bukannya orang lain... dan...."
"Dan apa?" balas Khalida.
Aqmar tidak berani menambah apa-apa lagi. Dia tidak mahu menambah lagi rasa malu di hati isterinya itu.
"Lida jadi kekok kalau abang asyik memandang kami... penuh takjub seperti memandang ikan di akuarium." Sambung Khalida dengan jujur.
"Sejak ada anak ni, Lida... peliklah!"

Memerhati dia menyusu setiap kali, membuat Aqmar sayu dan hiba. Nuur Hannah menyedut susu perlahan-lahan dan mata Khalida yang lembut bercahaya itu merenung anaknya tanpa berkedip.

Catatan kaksu:
Petikan ini kaksu tujukan untuk adik kaksu, Majidah


Nuur Hannah binti Dr. Aqmar Aziz

<1> Orang yang buta hati dan cemburu sahaja yang mengatakan Nuur Hannah bukannya anak yang hebat. Rambutnya kerinting seperti ibunya, beralun dan berkilau indah. Matanya bulat bercahaya. Keningnya teratur seperti ibunya juga. Nuur Hannah memang corbon copy ibunya. Dia anak ibunya. Dan kawan-kawan Aqmar sempat mengusik, padanlah lambatnya isteri kamu hamil Mar... sekali lahir, cantiknya bukan main.

<2> Tetapi akhir-akhir ini, kecenderungan Nuur tidak terarah ke situ. Nuur lebih senang dibelikan permainan kereta lumba atau kereta api daripada membeli peralatan muzik apatah lagi anak-anak patung. Nuur tidak seperti ibunya yang suka mendengar lagu-lagu sayu dan apatah lagi lagu-lagu asli... dan kemudian mata ibunya itu akan berkaca-kaca dengan air mata. Nuur walaupun menyalin wajah ibunya, tetapi mereka sungguh berbeza... kecuali untuk suatu perkara: kedua-dua mereka suka menangis dan mudah hiba untuk perkara yang sangat remeh.

Catatan kaksu:
Kaksu suka novel Indonesia tulisan Marga T. Perkataan carbon copy itu kaksu pinjam dari novel Karmila. Novel itu kaksu baca entah berapa belas kali semasa di universiti. Macam boleh hafal saja jalan ceritanya. Tahun lalu kaksu memesan novel Karmila tu daripada pelajar kaksu yang tinggal di Medan. Nipis aja, tetapi sehingga 30 ringgit. Rasanya NTS lebih murah berkali-kali ganda. Tetapi mereka menggunakan kertas kuning. Dulu-dulu CESB juga kertas kuning. Sekarang tidak lagi. Ramai yang tidak mengerti kualiti kertas kuning. Kertas yang mahal dan tahan lama. Hanya jauhari yang mengenal manikam :)

"Ibu, pen merah pen biru... You marah I love you," jerit Hannah sebaik sahaja Khalida mencubitnya kerana meludah Chichi.

"Oh, itu lah yang Hannah belajar di sekolah ya." Kata Khalida sambil mengulum senyum, dia tidak mahu Hannah tahu dia sedang teruja dengan pantun tu.
Hannah tersenyum lebar, dan mempamerkan lesung pipitnya dengan percuma. Matanya yang bersinar cemerlang itu, membuat dia nampak lagi nakal.

"Belajar di sekolah ya?" usik Khalida lagi.
Kadang-kadang dia suka buat Hannah jadi serba salah, padahal di dalam hati dia selalu sahaja ketawa dengan jenaka Hannah yang menggodanya. Hannah mengangguk, dengan malu-malu.

Khalida pura-pura merenung dengan muka yang lebih serius lagi.
"Kalau macam tu, ibu nak tanya tok... Hannah betul-betul ke sekolah atau main-main saja. Kalau tidak, ibu nak suruh berhenti sajalah. Duduk kat rumah tolong Mak Mah masak lebih bagus...."

Muka Hannah sudah berubah. Dia ingatkan ibunya itu sedang betul-betul hendak memberhentikannya daripada ke sekolah. Dia suka sangat pergi ke sekolah. Apatah lagi pergi sekolah tu maknanya: pergi ke rumah tok. Yalah, selepas habis waktu sekolah, dia akan mengikut neneknay balik ke rumah. Dari sana dia akan menunggu ayahnya mengambilnya untuk pulang ke rumah.

"Tak mau duduk rumah, nak sekolah." Kata Hannah dengan mata yang terkebil-kebil. Khalida terasa hendak ketawa. Hannah, Hannah... tidak mungkin ibu sungguh-sungguh. Hannah sudah mulai boleh mengeja dan membaca perenggan yang mudah-mudah. Dia juga sudah boleh menghafal ayat-ayat lazim yang pendek-pendek dari Muqadam.

Hannah segera memeluk ibunya.
"Hannah janji tak akan ludah Chichi lagi. Tadi dia jilat kaki Hannah... geli lah," kata anak dara kecil tu.
"Kalau tak suka kat Chichi kita buang sajalah atau beri kat Kak Lala." Usik Khalida lagi, pura-pura merugut.

Air mata Hannah sudah merambu. Satu-satunya perangai Hannah yang menurun Khalida ialah dia suka menangis, walaupun hanya kerana perkara kecil. Berapa kali Aqmar mengusik Khalida, yang perangai lemah hati Hannah tu memang macam Lida. Setiap kali itu juga, Lida akan tersipu-sipu malu.

"Tak nak...."
Khalida segera mendakap dan mencium anaknya, dia sudah keterlaluan mengusik Hannah.

Catatan kaksu:
Dulu-dulu bila kita orang ambil SRP (sekarang, PMR) bukan semua orang boleh automatik naik tingkatan empat. Kaksu memang malas studi (kalau baca buku cerita okey). Tetapi kaksu ni pendengar yang baik, jadi dengar aja... bacanya tidak. Lalu emak kaksu pernah ugut, kalau tak pass SRP nak beri kahwin. Ya, Allah takutnya. Tak tahu emak sekadar mengusik aja. Tetapi usikan emak menjadi, kerana kaksu betul-betul 'pulun' dua minggu yang akhir itu... hanya kerana takut dikahwinkan dengan Benggali karpet atau keling botol mana ke ahaks.

Petikan ini mengingatkan kaksu kepada emak. Jadi Khalida juga menggunakan teknik yang sama untuk mengusik anaknya, Hannah. Tapi reverse psychology yang dia gunakan ialah: nak beri Chichi kepada orang lain.

Pantun pen merah pen biru tu... kita selalu menyebut waktu kecil.  Teringat dekat Lutfil *anak kak Pink* yang nak dendangkan lagu "Lai Lai Li Tampelong" kat Bonda Sue tadi.  Lepas tu dia nyanyikan lagu Negaraku dan suruh kaksu mengikutnya :)

Betulkan kaksu kata, pengalamanlah insya-Allah yang akan membantu kita untuk menulis!


Posted at 06:27 pm by nrsuraya
Comments (15)  

 
Saturday, May 20, 2006
Latar Nyanyian Tanjung Sepi...
Salam untuk sekali lagi....


gambar ini kiriman sepupu kaksu, Hidayah, 
yang belajar di Perancis


Ramai juga yang bertanya KakSu, cerita NTS ini berdasarkan cerita sebenar, ka?

Apa yang boleh KakSu jawab, ya? Latarnya, memanglah benar. Latar ceritanya, latar tempatnya, latar peristiwanya dan masyarakatnya... memanglah betul.  Lalu cerita itu nampak seolah-olah berdasarkan peristiwa sebenarlah... walaupun pada hakikatnya ia sekadar sebuah cerita fiksyen.

KakSu akui, sebenarnya banyak peristiwa yang berkaitan dengan KakSu dan juga teman-teman yang digabungkan untuk menghidupkan watak Syarifah Nuur Khalida.

KakSu memulakan TIGA BAB yang awal NTS ini di wad patah:

KakSu sememangnya di wad patah pada waktu itu... sekitar tahun lapan puluhan pabila mana emak saudara KakSu (mak teh) meminta tolong KakSu menemani anaknya, Subhi Hamdy yang terlantar di hospital kerana patah kaki (dilanggar lari). Rasa-rasanya hari itu, tiada siapa yang dapat menemani Subhi Hamdy. Tiba-tiba semua orang sibuk sangat dan kebetulan KakSu bertandang ke rumah mak teh; dan 'tugasan' menanti di situ. Lalu apabila jemari KakSu untuk melakar idea timbul beberapa tahun kemudian... lantas latar wad itu KakSu abadikan di situ.

Sebagaimana cerita NTS – Subhi Hamdy, sepupu Khalida itu juga menerima nasib yang sama. Dan cerita di dalam wad itu, memang KakSu rasai sendiri; ya rasa marah dan geram direnung terus-menerus dek tiga bujang lapok. Lalu pada saat itu KakSu pura-pura membaca sehingga migrain (ahaks) sebab takut akan renungan mereka!  Cuma sekarang ini Kaksu tidak pasti, betulkah tiga orang atau cuma dua atau seorang yang tinggal di wad ketika itu?

Subhi Hamdy (kami panggilnya, Didi aja sejak kecil); dia memang pun dihiburkan dan dimanjakan oleh ketiga-tiga mereka. Tiga bujang lapok tu terlibat dengan kemalangan jalan raya dalam perjalanan menyaksikan pertandingan bola sepak di Stadium Darulaman.  Dan mereka menjadi penghuni tetap wad 'Doktor Aqmar' itu. Dan menurut abang Didi, Irman... ada seorang doktor (yang KakSu tidak tahu namanya) mencabar mereka sebagai; "saya nak lihat sikit kamu nak kumpul berapa 'F'?"   Lalu kata-kata doktor misteri itu KakSu 'curi' (pinjam) dalam NTS :)

Yalah, ketiga-tiga mereka memang asyik bermain terup aja untuk menghabiskan masa terluang daripada mengulang kaji pelajaran untuk peperiksaan STPM (?) mereka. Namun nama mereka tentu fiksyen sahaja. Manalah KakSu kenal atau ingat. Kalaulah mereka terbaca novel NTS ini, harap-harap mereka tidak marah kepada KakSu yang mengabadikan kisah mereka dalam novel KakSu ini.  Gambaran tentang hospital ini dilengkapkan lagi apabila KakSu menjaga nenek yang terlantar di hospital dan adik KakSu yang dimasukkan ke wad kerana apendiks.

Latar tahun 1985 begitu akrab dengan KakSu, kerana permulaan tahun inilah KakSu menjadi pelajar Komunikasi di USM. Cerita-cerita pelajar USM, KakSu kumpulkan untuk menceriakan latar di asrama dan juga di bilik Khalida. Sebahagian watak sememangnya KakSu fiksyenkan... tetapi ada juga 'karakter' yang KakSu 'salin' daripada teman-teman KakSu yang sebenar.  Ada juga daripada teman-teman KakSu di blog ahaks.

Walaupun KakSu tidak tinggal seasrama dengan pelajar perubatan (Desa Fajar), tetapi ada juga seorang dua teman KakSu mengambil jurusan perubatan yang mencetuskan idea untuk KakSu menulis. Latar tahun 1985, adalah antara kenangan yang terindah untuk KakSu.

Emak saudara KakSu, yang kami panggil mak teh memanglah suka memasak. Dan masakannya memang sedap sangat. Mak tam pula sekarang ini tinggal di sebelah rumah mak teh... lalu sememangnya kedua-dua mereka sering menukar juadah malah kadang-kadang saling 'menculik' juadah yang seorang lagi tidak kira sama ada 'diculik' dari peti ais... atau periuk ataupun di bawah tudung saji... apabila tetamu yang tidak duga datang bertandang... dengan tiba-tiba.

Rumah mak tam dan mak teh tidak pernah pun tidak ada makanan untuk disajikan kepada tetamu yang berkunjung. Lebih-lebih lagi kalau di rumah mak teh yang menjadi suri rumah sepenuh masa itu. Mak tam KakSu seorang guru dan anaknya; Wan, Tikah dan Tiyah... memang KakSu muatkan untuk berlakon di NTS.  Tetapi KakSu sedikit pun tidak bimbang ahaks... kerana mereka tidak pun membaca NTS, mereka sendiri tidak tahu mereka turut berlakon peranan kecil di NTS ini.

Manakala mak teh pula sepatutnya ada lima orang anak, tetapi KakSu senarai pendekkan menjadi 'empat orang' sahaja. Yalah kerana anak bongsunya Naim sudah pun KaKSu pinjamkan namanya sebagai adik 'Farhana' dalam novel Rindunya Kian Membara. Itulah jadinya... anak-anak mak teh yang berlakon hanya Irman, Subhi Hamdy, Noor Azeema dan Noor Hidayah.  KakSu biarkan mereka dengan bergerak bebas dalam NTS. Yang bezanya dengan alam sebenar hanyalah: KakSu jadikan Ema sebagai kakak Didi. Yalah, tidak mungkin Ema menjadi matang sedikit kalau dia masih muda sangat. Itulah bezanya. Lalu rumah Cikgu Raihan KakSu tempatkan di sebelah rumah mak teh.  KakSu biarkan pagarnya terbuka (begitulah rumah mak teh dan mak tam selama ini... pagarnya dibuka untuk memudahkan emak-emak saudara KakSu tu saling bertandang)  

Jadi di mana Doktor Aqmar?

KakSu cuma tahu Didi menyukai doktor yang merawatnya. Itu sahaja! Itulah 'Doktor Aqmar' dalam NTS. Tetapi KakSu tidak pernah bertemu pun dengan orangnya. Dia menjadi tarikan untuk KakSu memulakan cerita ini penuh misteri bagi KakSu. Selepas NTS keluar, ramai yang bertanya KakSu tentang 'Doktor Aqmar'... ramai yang ingin melihatnya... sedangkan kalau di congak-congak usianya... doktor itu sudah berumur sekitar lima puluhan sekarang ini.

Masihkah dia mempunyai daya penarik?

Perasaan Khalida yang KakSu pamerkan sekadar fiksyen... tetapi sememangnya, keluarga KakSu ingin menjodohkan KakSu dengan seorang saudara jauh ketika itu. Ketika itu KakSu sudah pun di tahun ketiga di USM. KakSu punyalah takut dengan rancangan mereka. Harapan mereka tentu aja membuat KakSu rasa sangat sedih. Hanya kerana adik KakSu, Laili... sudah berkahwin, semua orang pandai-pandai aja cuba mengatur hidup KakSu pula.  itulah yang KakSu rasa.  Itulah yang membuat KaKSu rasa sangat terkilan sangat!

KakSu nyaris-nyaris mengatakan 'ya'... hanya kerana keluarga KakSu seolah-olah telah berkata 'ya' kepada pihak yang satu lagi. Dan KakSu tidak ingin memalukan mereka. Bagaimanapun pada ketika 'dia' datang ke kampus (ditemani abangnya) dan bertanyakan hal tersebut kepada KakSu; entah keberanian itu datang dari mana... dan KakSu berani mengatakan 'tidak'...

"Saya tidak mahu".

Padahal ketika itu KakSu tidak ada sesiapa di dalam hati. Opsss, benarkah begitu? Terpulang untuk adik-adik untuk percaya atau tidak :) Yang pastinya ketika itu KakSu masih gadis polos yang mendambakan hidup yang damai di samping teman-teman di kampus. Hal pacaran tidak termasuk dalam hitungan pun.

Itulah sebahagian latar yang KakSu pinjam pakai dalam cerita ini...dan harap-harapnya KakSu menjawab sebahagian daripada pertanyaan adik-adik!


ANEKDOT:
Cerita ini kakSu taip ketika hujan di luar sedang mencurah. KakSu sedang menunggu hujan teduh untuk pulang ke rumah (Sungai Petani). Kelas hari ini berlangsung sejak jam 9 pagi sehingga 4 petang tadi.  KakSu dilesukan dengan kerja-kerja yang belum KakSu mulakan lagi.

Dan hari Sabtu ini, KakSu masih keseorangan di pejabat menunggu waktu untuk meninggalkan pc kesayangan KakSu :o

Ramai yang berpesan hati-hati duduk sorang-sorang di pejabat... kerana berh*nt* tapi apa pilihan yang KakSu ada, ya?

Posted at 05:24 pm by nrsuraya
Comments (12)  

 
Tuesday, April 18, 2006
Nyanyian Tanjung Sepi - Sebuah Catatan

Melakar Cerita di Laman Rumah Kecil Tiang Seribu...

Kaksu mulakan cerita Nyanyian Tanjung Sepi setelah; teman baik kaksu tidak benarkan kaksu menulis cerita "Rumah Kecil di Ujong Padang" yang baru sahaja kaksu siarkan dua kali dalam blog. Katanya, nanti orang ciplak… cerita tu kan kaksu nak terbitkan nanti. Mengikut telunjuknya ahaks… betullah tu menulis di maya bukannya selamat kerana tak ada copyright. Lalu akhirnya kaksu pilih Nyanyian Tanjung Sepi… yang kaksu dah nekad tak nak terbitkan.

Untuk mengajak pengunjung ke Rumah Kecil Tiang Seribu, kaksu tuliskan cerita tu bersama-sama cerita Keranamu Ain…II. Alasannya, novel tu dicetak empat kali, jadi kaksu rasakan kalau gabungkan dalam Nyanyian Tanjung Sepi sudah tentu ada pengikutnya yang tersendiri. Kaksu bercadang menulis cerita berbingkai di situ… iaitu NTS duduk dalam Keranamu Ain… II, macam kita buat inti karipap. Jadi inilah yang telah kaksu lakukan…

Kaksu jadikan Ain menulis novel tentang cerita Doktor Syarifah Nuur Khalida… lalu entri pertama berbunyi begini dengan tajuk yang kaksu catatkan sebagai:

Cerita Tentang Ain...
Telah lama Ain ingin menulis cerita cinta Doktor Syarifah Nuur Khalidah yang telah ditemuinya beberapa tahun yang lalu, tatkala menghadiri Majlis Konvokesyen di Universiti Sains Malaysia. Namun begitu, Doktor Syarifah yang Ain panggil Kak Lida, masih menyembunyikan cerita cintanya yang sungguh unik itu. Kata Kak Lida, kalau kita dah cerita pada orang lain ... semuanya sudah tidak indah lagi.

Dalam diam-diam Ain pujuk-pujuk juga, sedikit-sedikit maklumat itu Ain simpan dalam catatan. Kemudian, apabila dirasanya, dia sudah mampu menulis ... sayangnya masa sudah tidak ada. Masa masih tidak menyebelahinya. Ain menjadi sangat sibuk.

Sekembali ke Malaysia dari Brunei Darussalam dan kemudiannya mendirikan rumah tangga … Ain seperti kehilangan seluruh masa. Ain tiada masa untuk dirinya sendiri. Malah setiap kali pula, suaminya keluar outstation ke mana-mana, setiap kali itulah Ain mengikut suaminya itu ke mana-mana juga. Dia seperti sudah menjadi bayang-bayang untuk suaminya pula. Selalunya mereka akan ke Terengganu, kerana suaminya harus berada di pelantar laut selama beberapa hari, kadang-kadang berbelas hari. Lalu Ain juga terpaksalah berkampung di sana. Kalau tidak tinggal di hotel sendirian menunggu suaminya pulang. Ain akan tinggal di apartment yang disediakan untuk staf Petronas di pinggir pantai itu, keseorangan.

Bersambung….

1.  Kenapa judulnya, Nyanyian Tanjung Sepi?
2.  Siapakah orang yang pertama memberi komen di situ?
3.  Kenapa pisahkan NTS dari blog ibu kandungnya...
Rumah Kecil Tiang Seribu ?
 


Posted at 05:16 pm by nrsuraya
Comments (10)  

 
Thursday, March 09, 2006
Nyanyian Tanjung Sepi – Sebuah Kenangan
Tinggi bukit gilang-gemilang,
Air laut tenang-tenangan;
Budi sedikit tidak kan hilang,
Itu menjadi kenang-kenangan.


Rasa-rasanya KakSu menulis Nyanyian Tanjung Sepi dalam tahun 1991 lagi. Ketika itu, KakSu baru sahaja 'posting' ke Sibu. Setiap petang KakSu cuba menyibuk diri apabila Abang Rosdi sibuk bermain bola sepak dan latihan ragbi untuk pasukan sekolahnya.

Kami tinggal di 'apartment' empat tingkat, berdekatan dengan 'town'. Kebetulan kami tinggal di tingkat atas dengan 'attachment' ruang kosong di atasnya lagi. Rutin yang menyeronokkan; ke perpustakaan awam (syukurnya, dibuka hingga jam sembilan malam... dan dapat meminjam 4 buah buku sekali gus). Sekarang ni, di sini (Sungai Petani) perpustakaan hanya di buka mulai jam sepuluh pagi sehingga 5 petang sahaja. Apatah lagi sekarang ni kerajaan cuti Jumaat dan Sabtulah pulak.

Bagaimanapun perpustakaan tiga tingkat (? Tak ingat) di Sibu tu cuma ada buku-buku cerita bahasa Cina dan Inggeris (KakSu tak baca pun). Tetapi ada banyak buku ilmiah, jadi itulah buku-buku yang dapat kami pinjam dan baca. Bayangkan kalau dah dua orang pinjam, kita dapat 8 buah buku.

Selepas tu kami akan makan-makan di tepi jalan dekat Kampung Datuk. Di situ jual ayam bakar (golek) dan sup udang galah yang sedap dengan cendawan. Airnya, tentulah air kelapa. Ayam seekor (ketika tu, tak boleh beli separuh lagi) kami habis berdua sahaja. Padanlah KakSu menjadi sangat tembam ketika duduk di Sarawak dan kemudiannya, berat badan tu sudah tak susut-susut lagi sehingga kini.

Lalu apa lagi yang KakSu buat untuk memenuhi masa yang terluang di 'apartment' tu sendirian? Tentulah dengan menulis. Lalu cerita Nyanyian Tanjung Sepi dan Rindunya Kian Membara (bukan judul asal)... KakSu lakarkan, dalam buku latihan. Rasa-rasanya kedua-dua cerita ni dilahirkan dalam tempoh yang lebih kurang sama. KakSu tidak ingat yang mana KakSu mulakan dahulu; Nyanyian Tanjung Sepi atau Rindunya Kian Membara?

Seingat KakSu, tajuk yang KakSu tulis pada ketika itu untuk Nyanyian Tanjung Sepi ialah
>>> Dr Khalidah: Nyanyian Tanjung Sepi
Sementara untuk Rindunya Kian Membara ialah;
>>> Dr Farhanah: Kasih Yang Berderai

Ketika itu, tidak pernah terlintas di hati KakSu untuk menghantar manuskrip itu ke mana-mana. KakSu tidak pernah tahu, di Semenanjung orang CESBsudah mulai menerbitkan novel-novel pun. Sebab buku-buku cerita (kecuali keluaran DBP) tidak pernah sampai dijual di Sibu. Jadi KakSu menulis untuk seronok sendiri sahaja.

Yaalah, supaya apabila KakSu bersendiri, ada sesuatu yang KakSu lakukan untuk menghabiskan masa yang terluang. Ketika itu, KakSu sudah pun menaip cerita Kernamu Ain Najwa... (tajuk asal). Semangatlah tu, baru beli PC 'second hand' dari orang. Rasanya harganya, RM2000. Abang Rosdi pernah mengusik, "boleh balik modal ke beli komputer ni?" Alhamdulillah, walaupun masih terkial-kial menaip dengan dua jari... KakSu memang menang beberapa peraduan menulis cerpen hasil dari menaip dengan PC tu... yang terbesar tentulah anugerah Sayembara Esso-Gapena ke-9, hadiahnya RM3,000. Balik modallah tu.

Walaupun sudah ada PC, tetapi sedari dulu pun, Nyanyian Tanjung Sepi dan Rindunya Kian Membara (KakSu cadangkan tajuknya sebagai, Surat Bersampul Perang kepada penerbit)... tidak pernah bertaip. Kerana tiba-tiba minat KakSu terarah ke arah menulis cerpen juga. Silalah ke rumah KakSu Buat Menyapu Si Ayer Matauntuk membaca cerpen-cerpen lama-lama KakSu di situ.

KakSu menulis Nyanyian Tanjung Sepi ke blog selepas, ingin menulis sebuah e-novel. Tentu sahaja ketika itu terpengaruh dengan penulisan anis a.k.a rnysa yang manis dalam RADHA. KakSu ingin menulis Nyanyian Tanjung Sepi ke situ kerana Nyanyian Tanjung Sepi tu KakSu tak berminat nak terbitkan ke mana-mana lagi. KakSu rasa ceritanya macam ala-ala Rindunya Kian Membara sahaja. Lalu daripada tersimpan dalam kotak kayu atau dibuang begitu sahaja... biarlah KakSu tulis cerita tu secara bersiri di blog ini.


Inilah manuskrip bertulis tangan dalam buku latihan
yang kaksu pindahkan ke blog secara bebas
dan ubahsuai sesedap hati itu....


Tidak sangka ya, blog ini telah mendewasakan Nyanyian Tanjung Sepi... pabila Nida melamar Nyanyian Tanjung Sepi KakSu dan dipujuk-pujuk oleh pelayar yang singgah di Nyanyian Tanjung Sepi, KakSu pun terasa nak membukukannya....


[Bersambung]

Posted at 11:29 am by nrsuraya
Comments (14)  

 
Thursday, December 29, 2005
Siri Pantun-pantun dari Nyanyian Tanjung Sepi [Akhir]

[71] – Elegi Sepi
Kalau memerah limau kasturi,
Sebelum diperah buanglah bijinya;
Harta habis boleh dicari,
Patah hati apakah ubatnya.

[72] – Mahadewi
Padang Panjang dilingkar bukit,
Bukit dilingkar kayu jati;
Kasih sayang bukan sedikit,
Dari mulut sampai ke hati.

[73] – Keranamu Lida...
Orang Acheh pulang ke Acheh,
Mengail kurau dapat senangin;
Bakan mudah kita berkasih,
Laksana wau melawan angin.

[74] – Akulah Rusukmu Yang Hilang
Anak ruan lima-lima,
Mati ditimpa punggur berdaun;
Kasih tuan saya terima,
Menjadi hutang beribu tahun.


Rumusan: 
Cerita ini dimulakan dengan sebuah PROLOG.  Dan diakhiri dengan sebuah EPILOG.  Ada DUA bahagian semuanya; I dan II.  Episod untuk Bahagian I ada 40 dan selebihnya, tercatat di Bahagian II.  Akhir kata, ini sahajalah koleksi pantun-pantun yang menamatkan setiap episod dalam Nyanyian Tanjung Sepi... sebuah pantun tu sumbangan Kak Ryn dan Kak Nina... daripada nenek mereka.  Kaksu catatkan dalam bahasa asal - Bahasa Brunei.  Terima Kasih ya, terima kasih untuk semua yang sudi mengintai kaksu di Nyanyian Tanjung Sepi. 


Posted at 05:18 pm by nrsuraya
Comments (6)  

Previous Page Next Page